My Picture

hai. saya eju. saya blog pasal macam2 subjek dan peristiwa. menetap di London utk 9 bulan dan di Malaysia utk 3 bulan, setiap tahun sehingga 2015.

More about me»

Ibrah dari lelaki berkulit hitam
Pengajaran hidup di bumi Inggeris
Bab 3: Ibrah dari lelaki berkulit hitam

Selepas saya menulis Bab 2, saya sering memikirkan yang insyaAllah, saya sedikit sebanyak telah mengubah paradigma mentaliti ke arah kelas pertama terutamanya dari segi menolak terus aspek generalisasi dan mengamalkan husnudzon dalam setiap keadaan.

Kemudian, saya didatangkan dengan satu peristiwa yang membuat saya mempersoalkan kembali kekuatan prinsip yang ingin saya pegang.


Peristiwa ini berlaku pada 25 Februari 2015 pada jam sekitar 11 pagi di South Kensington, London sewaktu saya sedang berjalan menuju ke Imperial College. Seorang lelaki berkulit hitam menegur saya dengan mengucapkan salam. Lantas saya menjawab salamnya dan terus dia bertanya bagaimana untuk ke Regent's Park central mosque.

Saya pun tunjuk arah bagaimana untuk ke stesen kereta api (underground tube station) kerana masjid yang dia cari sangat jauh dari tempat ini. Dia menggeleng kepala dan mengatakan bahawa dia hanya ingin berjalan kaki. Dia mula menceritakan bahawa dia datang dari Aberdeen untuk melihat jenazah rakannya buat kali terakhir yang baru sahaja meninggal dunia. Jadi, dia baru sahaja beli tiket kapal terbang dan datang ke London Heathrow airport semalam. Duitnya pula dicuri oleh penyeluk saku tanpa dia sedari dan dia hanya berjalan kaki dari Heathrow airport sehinggalah dia tiba di South Kensington. Saya tunjuk muka terkejut kerana perjalanan yang disebut sangat jauh untuk hanya berjalan kaki; lantas, dia keluarkan AlQuran dari poketnya yang sudah tampak lusuh dan berkata "Allah helped me through everything". Tujuan dia ingin ke central mosque kerana ingin meminta sedikit wang zakat untuk dia pulang kembali ke Aberdeen kerana wangnya yang telah dicuri.

Sambil dia bercerita, otak saya mula berasa curiga dan fikir yang bukan-bukan mengenainya. Adakah dia menipu? Cerita ini semua direka? Atau mungkin dia benar-benar jujur dan dalam kesusahan dan tiada siapa yang dapat menolongnya?

Saya pun berterus terang padanya bahawa saya tidak tahu bagaimana untuk ke Regents Park dengan hanya berjalan kaki dan syorkan kepadanya untuk ke Imperial College prayer room dan meminta tolong muslimin di situ. Dia tidak suka dengan cadangan tersebut dan meminta tolong saya untuk jalan bersamanya ke stesen kereta api dan tolong bayar untuknya tiket kereta api untuk dia ke masjid.

Pada ketika itu saya menolak segala prasangka buruk dan mempercayai bahawa dia sememangnya berada dalam kesusahan dan bersetuju dengan permintaannya. Sambil berjalan ke arah stesen, dia bertanya lagi jika saya dapat membantu memberikannya wang untuk membeli tiket Megabus untuk pulang ke Aberdeen yang berharga $$. Diakibatkan saya telah menyimpan niat untuk menolongnya, saya pun pergi ke cash machine dan mengeluarkan sejumlah wang yang dia minta.

Setelah memberinya wang yang saya keluarkan, saya didatangi lagi dengan prasangka buruk. Macam mana kalau dia menipu? Macam mana kalau cerita itu semua taktik dia untuk mengambil wang orang? Terdapat parut panjang dari hujung mulutnya menjalar kepipi kelihatan pernah dijahit. Adakah dia seorang pejenayah? Bukankah lelaki berkulit hitam ramai yang menjadi penjenayah berdasarkan statistik?

Astaghfirullahul azim.

Nampaknya jiwa saya masih belum bersih dari prasangka negatif terhadap orang lain. Mengapa saya berasa berat hati apabila memberikannya wang? Adakah saya terlalu sayangkan duit? Mengapa terasa berat apabila wang itu diberikan? Bukankah rezeki itu datang daripada Allah? Bukankah saya masih akan dapat pahala bersedekah meskipun dia menipu?

Hmmm. Banyak lagi yang perlu saya betulkan dalam diri ini. Setelah tersedar bahawa bisikan negatif menguasai diri, saya kembali hujani fikiran dengan fikiran-fikiran positif. Mungkin benar lelaki itu dalam kesusahan dan sangat kasihan padanya kerana tiada siapa yang dapat menolongnya.

Mungkin Allah hantar saya sebagai penyelamat dia; dan mungkin juga, Allah hantar dia sebagai penyelamat diri saya dari racun negativiti.

tetamu

kelab kapucino

komen kapucino