My Picture

hai. saya eju. saya blog pasal macam2 subjek dan peristiwa. menetap di London utk 9 bulan dan di Malaysia utk 3 bulan, setiap tahun sehingga 2015.

More about me»

Mentaliti kelas pertama
Pengajaran hidup di bumi inggeris
Bab 2: Mentaliti kelas pertama


Semasa zaman persekolahan saya dulu, cikgu-cikgu selalu memberitahu bahawa Malaysia mempunyai infrastruktur kelas pertama, tetapi mentaliti masih berada pada kelas ketiga. Contoh-contoh mentaliti kelas ketiga yang diberikan selalunya seperti: rakyat malaysia yang tidak menitikberatkan kebersihan tandas awam, tidak kisah mengenai alam sekitar, buang sampah di merata tempat, membuat vandalisme pada kemudahan awam, dan sebagainya.

Ya, semua contoh yang diberikan adalah benar. Tetapi sebenarnya contoh-contoh yang diberikan itu adalah cerminan suatu sikap yang dicerminkan melalui perbuatan. Itulah yang dimaksudkan dengan mentaliti kelas ketiga. Segalanya bermula dari minda dan hati; bermula dari mentaliti. Selepas hampir empat tahun saya belajar di London, barulah saya benar-benar faham akan jauhnya beza cara pemikiran mentaliti kelas pertama dan mentaliti kelas ketiga.


Malas ambil kisah


Sedar atau tidak, persekitaran di Malaysia menjurus kepada sikap malas untuk ambil kisah. Sikap ini bukanlah suatu yang perlu dipersalahkan kerana bukanlah tanggungjawab mereka untuk ambil kisah mengenai kebersihan di tempat awam kerana terdapatnya tukang cuci dan tukang kutip sampah yang akan menjalankan tugas. Mereka juga tidak merasa bertanggungjawab untuk mengurangkan penggunaan air dan elektrik kerana mereka mampu untuk membayar bil dan tidak kisah akan risiko penurunan bekalan air dan peningkatan karbon dioksida di udara kerana semua orang lain juga guna air dan elektrik sesuka hati. Mereka juga tidak kisah untuk kitar semula sampah atau mengurangkan sampah kerana mereka tidak nampak akan manfaat apa yang akan mereka dapat jika berbuat sedemikian. Mereka tidak kisah akan kesan persekitaran negatif apa yang akan dihadapi oleh generasi beratus tahun akan datang kerana kesan-kesan tersebut tidak akan terjadi pada mereka dan anak-anak cucu terdekat mereka. Dan ianya tidak salah pun; kerana mereka tiada sebab yang ketara untuk ambil kisah.



Di Imperial College London, saya nampak sikap sebaliknya. Sikap ingin melakukan apa yang terbaik untuk persekitaran dan generasi beratus tahun akan datang yang tiada apa kaitan pun dengan mereka. Walhal, mereka juga tidak mempunyai sebab untuk ambil kisah; tetapi mereka pilih untuk melakukannya. Walaupun sebagai seorang individu yang kisah, yang mungkin tidak nampak impak langsung kerana berjuta orang yang lain tidak kisah; mereka tetap melakukannya. Kerana apa? Kerana walau sekecil mana kontribusi mereka, mereka tahu mereka telah cuba untuk menjadikan dunia ini lebih baik. Mereka tidak mahu menjadi penyumpang impak negatif pada orang lain. Mereka mahu tolong orang yang mereka tidak nampak, walaupun tiada ganjaran yang akan mereka dapat. Saya nampak sikap ini pada pensayarah-pensyarah saya dan pensyarah jemputan dari luar. Sikap intelektual yang jika semua orang contohi, persekitaran dunia akan jadi lebih baik. Sikap yang ada pada Rasulullah juga, yang bersusah payah cuba untuk menyebarkan Islam untuk generasi-generasi akan datang yang dia tidak pernah kenal pun sehinggalah Islam sampai pada kita. Bak kata Muhammad Abduh, " I went to the west and saw Islam, but no Muslims. I got back to the east and saw Muslims, but not Islam".


Merasakan diri sendiri lebih baik dan sinis


Sikap merasakan diri sendiri lebih baik dan sinis terhadap orang lain ini, bagi saya, adalah mentaliti kelas ketiga; mentaliti orang yang tidak mahu melihat kebaikan pada orang lain dan suka mencari kesalahan orang lain. Isu yang paling biasa di Malaysia adalah isu menutup aurat. Kebanyakannya suka menegur dengan cara yang tidak berhemah- tegur di laman sosial yang boleh mengaibkan orang lain, atau tegur dengan cara sinis sehingga mengguris hati orang lain. Orang yang mempunyai mentaliti kelas pertama akan menegur atas tujuan mahukan yang terbaik untuk orang lain, maka, mereka akan cuba untuk memahami sebab disebalik perbuatan seseorang itu. Mereka akan cuba cari persamaan dan ketepikan perbezaan, untuk cuba meletakkan diri mereka di dalam diri orang lain. Mereka tidak akan hanya menuding jari pada sesuatu yang mereka nampak sebagai kesalahan, tetapi mencari subab-musabab disebaliknya. Mereka tahu; bagaimana mahu tumbuhkan dahan kalau pokok itu tiada akar dan batang?

Mereka juga tahu setiap manusia mempunyai seribu kebaikan yang boleh mereka belajar dan ambil pengajaran, disebalik satu kesalahan yang mereka nampak dengan mata kasar.

Bukan semua orang di Malaysia mempunyai minda kelas ketiga, dan bukan semua orang di UK mempunyai minda kelas pertama. Semuanya bergantung kepada individu. Di London, saya berkenalan dengan seorang kakak yang juga pelajar dari Malaysia, yang punya mentaliti kelas pertama ini; merendah diri dan sentiasa melihat pada kebaikan yang terdapat pada orang lain. Sedangkan, dirinya sendiri selalu membuatkan saya kagum, tetapi dia langsung tidak mencerminkan bahawa dirinya lebih baik dari saya. Bahkan memuji saya atas kebaikan kecil yang saya lakukan, dan secara tidak langsung membuatkan saya mahu melakukan lebih banyak kebaikan kerana inspirasi darinya. Ibarat 'bunga yang mekar, dan mahukan bunga lain mekar bersamanya'.

Perbincangan secara baik untuk menyelesaikan konflik juga selalu tidak tercapai jika mempunyai sikap sinis dan merasakan diri sendiri lebih baik. Orang yang punya mentaliti kelas pertama, sentiasa mahu belajar dan bersikap terbuka untuk menerima/memahami pendapat orang lain. Mereka tidak hanya berbincang untuk memaksa orang lain menerima pendapatnya, dan mereka tidak hanya mendengar untuk membalas; mereka mendengar untuk belajar. Sikap terpuji ini, saya lihat pada pensyarah-pensyarah di Imperial yang sentiasa terbuka untuk menerima pandangan pelajar dan walaupun berpangkat 'Doktor' dan "Professor', mereka tahu yang mereka boleh belajar dari sesiapa sahaja, termasuklah dari pelajar mereka sendiri.


Generalisasi


Generalisasi adalah sikap mudah menilai suatu kelompok masyarakat hanya berdasarkan beberapa orang dalam kelompok masyarakat tersebut. Contoh mudah bagi orang yang mempunyai sikap generalisasi adalah orang yang rasis; menilai suatu kaum hanya kerana sikap segelintir orang yang secara kebetulan dari kaum tersebut. Saya pasti anda sendiri boleh fikirkan pelbagai jenis contoh di minda mengenai sikap generalisasi perkauman ini.

Generalisasi bukan sahaja boleh cenderung kepada sesuatu kaum, tetapi juga kepada jantina, agama, atau negara. Saya sendiri pernah mengeneralisasikan masyarakat malaysia yang sukar untuk tepati masa hanya kerana beberapa orang Malaysia yang mempunyai sikap sedemikian. Walhal, di kelas saya di Imperial College, pelajar-pelajar dari Malaysia lah yang selalu tiba awal di kelas; justeru membuktikan bahawa betapa generalisasi itu adalah sesuatu yang salah.

Saya bersyukur kerana sepanjang saya menetap di London, sebagai seorang yang beragama Islam, saya tidak pernah berhadapan dengan layanan buruk atau kata-kata kesat walaupun ketika kejadian pembunuhan di timur london dua tahun lepas yang memburukkan nama Islam. Orang-orang yang mempunyai minda kelas pertama tahu dan faham bahawa setiap orang mempunyai sikap dan kepercayaan yang berbeza dan mereka tidak menilai seseorang berdasarkan orang lain yang bersamaan agama, kaum, atau negara. Mereka tahu bahawa masyarakat dunia hanya terbahagi kepada dua, iaitu orang yang baik dan orang yang jahat. Mereka juga faham bahawa orang yang jahat harus dilihat sebagai individu dan tidak harus disekutukan dengan agama, kaum, atau negara walaupun individu tersebut menyatakan bahawa dia mewakili sesuatu kelompok masyarakat.

Orang yang mempunyai minda kelas pertama mahukan dunia ini dalam keadaan aman dengan mencari persamaan untuk hidup bersama sebagai masyarakat dunia; dan tidak mahu masyarakat dipecah-belah menerusi generalisasi.



Mudah terpengaruh/percaya


Saya mengakui bahawa saya adalah seorang yang sangat mudah terpengaruh kepada artikel yang dimulakan dengan ayat "kajian menunjukkan bahawa.." atau "Research has shown that.." tanpa menyelidik kesahihan artikel tersebut. Pernah sekali saya menelefon ibu bapa saya, menyuruh mereka untuk tidur di rumah abang saya kerana amaran tsunami di Port Dickson yang saya baca di internet. Setelah beberapa kali tertipu dengan artikel-artikel sedemikian, saya kini telah sedar kepentingan menyelidik sesuatu perkara sebelum memberi kesimpulan, walau perkara itu tampak benar.

Orang yang mempunyai mentaliti kelas pertama sentiasa menyelidik sesuatu perkara sebelum membuat kesimpulan. Contohnya, mereka tidak mudah percaya pada gosip yang disebarkan mengenai seseorang, dan mereka tahu semua cerita harus didengar dan difahami dari kesemua sudut. "There are always two sides of the coin". Mereka tidak mudah untuk menilai seseorang yang mereka tidak atau belum kenal sepenuhnya hanya berdasarkan pandangan orang lain.


Tidak menghormati binatang


Di London, membawa anjing berjalan-jalan di luar adalah perkara biasa. Apabila anjing peliharaan mereka berak di atas jalan, mereka kutip dan buang tahi anjing mereka. Di Hyde Park juga, ramai orang yang bermain dengan anjing peliharaan mereka. Anjing-anjing di London sangat jarang menyalak. Sangat jarang! Sekali sekala sahaja terdengar salakan anjing. Pelik. Mengapa anjing di sini sangat baik. Mengapa anjing di Malaysia selalu menyalak tak henti-henti. Saya tahu, kerana ada yang membela anjing di taman perumahan saya dan anjing mereka suka menyalak. Dan saya juga tahu, anjing-anjing belaan di Malaysia tidak mendapat layanan sepertimana di London. Bahkan, saya sendiri pernah saksikan anjing dipukul oleh tuannya sendiri.



Mentaliti kelas ketiga; tidak menghormati binatang.

Saya pernah membela dua ekor hamster selepas habis SPM. Pada mulanya, saya sangat rajin membelai mereka, membersihkan sangkar mereka, melihat mereka makan. Lama-kelamaan, saya jarang-jarang membersihkan sangkar, jarang membelai. Binatang juga sentiasa perlukan kasih-sayang. Memelihara binatang adalah suatu tanggungjawab yang tidak boleh diambil ringan sekiranya mentaliti kelas pertama dipraktikkan.

Bukan binatang peliharaan sahaja yang harus dihormati, binatang yang kita makan juga harus disembelih dengan sempurna dan tidak dianiaya.


(Akan disambung)

0 pendapat bernas:

tetamu

kelab kapucino

komen kapucino