My Picture

hai. saya eju. saya blog pasal macam2 subjek dan peristiwa. menetap di London utk 9 bulan dan di Malaysia utk 3 bulan, setiap tahun sehingga 2015.

More about me»

Mencari Islam dan kepercayaan
Pengajaran hidup di bumi inggeris
Bab 1: Mencari Islam dan kepercayaan


Pertama kali saya tiba di UK, saya ditempatkan di sebuah 'hall' dimana saya seorang sahaja perempuan melayu di situ. Di kelas juga, hanya dua orang sahaja yang bertudung termasuk saya. Saya merasa asing terutamanya dari segi pemakaian. Tahun pertama di UK, saya mula mempersoalkan mengapa perlu memakai tudung sedangkan boleh sahaja tampak sopan dengan memakai baju yang sopan tanpa memakai tudung seperti kawan-kawan baru saya yang lain. Mengapa Islam menyuruh untuk menutup rambut dan tidak hanya diseru untuk memakai pakaian longgar dan tertutup? Saya mula mempersoalkan kebenaran agama yang saya anuti setelah mengenali rakan-rakan yang baik akhlaknya tetapi berlainan kepercayaan. Bagaimana kalau saya lahir di negara bukan Islam? Adakah saya juga akan jadi seperti mereka? Adakah Islam itu benar?

Saya mula mencari jawapan.

Selama saya di Malaysia, saya tidak pernah memikirkan semua ini kerana selalu sahaja terfikir: jangan persoalkan! Khuatir nanti murtad tanpa sedar. Di Malaysia juga saya selesa berdampingan dengan semua yang sama kepercayaan sehingga tidak pernah timbul semua persoalan mengenai agama. Tetapi di Malaysia, hati saya tidak pernah tergerak untuk mandalami agama dan mencari sebab utama mengapa saya Islam. Islam di hati saya hanyalah cara hidup; makan makanan halal, tutup aurat, solat, dan puasa. Saya tahu semua hukum-hakam, rukun iman dan rukun islam; saya tahu segala ranting dan dahan, tetapi akar tidak kuat. Di UK, pohon saya digoyang dan saya perlu mengukuhkan akar supaya ia tidak tumbang.

Persoalan saya terjawab selepas menghadiri satu program Dakwah oleh IERA di London dan menyertai program usrah yang selalu sahaja membincangkan perihal kerohanian. Apakah bukti kewujudan Tuhan?


Sains dan Islam


Ateis percaya bahawa semuanya bermula dari 'big bang'. Semuanya terjadi dengan sendiri. Carbon, nitrogen, dan komponen-komponen lain, bersatu dengan sendirinya dan sedikit demi sedikit menjadi makhluk yang hidup. Benarkah? Manusia terjadi dengan sendiri? Bayangkan betapa kompleks, teratur, dan sempurnanya sistem-sistem dalam badan manusia sendiri. Jantung yang tidak pernah berhenti mengepam darah selama 60-80 tahun, yang manusia sendiri tidak dapat cipta semula walaupun dengan segala teknologi yang ada. Otak yang mampu untuk berfikir dengan begitu hebat, tidak seperti binatang yang sangat terhad pemikirannya. Pernahkah anda terfikir bahawa mengapa manusia sahaja yang boleh bertutur, bina bangunan, cipta barang elektronik canggih? Mengapa binatang tidak mampu membuat benda yang sama? Lihat betapa hebatnya alam semesta. Betapa teraturnya sistem solar yang mempunyai paksi dan orbit yang tidak pernah berhenti berpusing selama bejuta-juta tahun. Mengapa di bumi sahaja terdapatnya graviti yang kuat, udara, air, dan tumbuh-tumbuhan? Mengapa planet lain tiada semua ini? Sesetengah perkara, sains tidak dapat menjawab semua persoalan. Sains menjawab 'apa' dan 'bagaimana', tetapi tidak 'mengapa'. Jawapannya, Tuhan lah yang cipta semua ini, yang Maha Kuasa, Maha Bijaksana. Sebagai bukti kewujudanNya kepada umat manusia, untuk manusia belajar dan 'explore', sebagai ujian dan persinggahan sebelum kehidupan yang seterusnya di akhirat kelak.




Dunia dan akhirat


Saya juga seringkali memikirkan betapa tidak adilnya kehidupan di dunia ini. Bayangkan jika anda lahir di negara yang bergolak dan dalam peperangan, bayangkan jika keluarga anda dibunuh tetapi pembunuh itu terlepas dari sebarang hukuman. Bayangkan jika anda lahir dalam keluarga yang fakir miskin, terpaksa meminta sedekah untuk makan. Bayangkan orang yang lahir dalam keluarga kaya, pakai baju Burberry sejak bayi lagi. Adilkah? Bukan kita yang pilih dari keluarga mana kita dilahirkan. Islam menjawab soalan-soalan ini dengan memberitahu bahawa semua ini hanyalah ujian-ujian di dunia. Setiap manusia diuji dengan cara yang berbeza, diuji dengan ujian yang mampu untuk mereka hadapi. Di akhirat nantilah di mana keadilan akan diberikan kepada semua manusia. Orang yang baik akan terima ganjaran, orang yang jahat akan mendapat pengadilan. Logik kan? Tidaklah logik kalau hidup ini cuma di dunia, mati nanti semuanya jadi gelap gelita.




Kepercayaan


Ada satu quote yang sering buat saya berfikir. 'Seeing is believing'. Ramai orang susah untuk percaya wujudnya Tuhan dan akhirat kerana mereka tidak nampak di depan mata mereka sendiri. Seperti juga kejadian tsunami. Bayangkan kalau di dunia ini tiada televisyen, Internet, atau telefon. Dan kita sering pergi ke pantai yang ombaknya kecil sahaja. Bila orang beritahu, ada ombak yang setinggi 100 meter dan melemaskan ramai manusia, Adakah kita akan percaya?

Di dunia, Al-Quran adalah 'televisyen/internet' itu dan Nabi Muhammad adalah penyampai berita.

Ada satu lagi perumpamaan yang saya suka. Terdapat dua orang bayi kembar di dalam perut ibu. Satu bayi berkata bahawa satu hari nanti mereka akan dikeluarkan dari perut, lihat dunia, dan jumpa ibu yang mengandungkan mereka. Bayi yang lagi satu tidak percaya dan berkata bahawa ibu tidak wujud, dan selepas kehidupan di dalam perut, semuanya akan berakhir. Seperti mana kehidupan di dunia yang punya manusia yang percaya dan tidak percaya.



Islam menjawab semua persoalan saya dan kini, saya betul-betul percaya dan fahami mengapa saya pilih untuk percaya. Maka disebabkan itu, saya percaya bahawa semua yang Allah suruh manusia buat adalah yang terbaik untuk manusia.

Catatan ini adalah untuk mengingatkan saya semua ini dan meskipun saya percaya, saya masih manusia yang sering melakukan dosa. Dan saya tahu dosa-dosa itu akan dihitung nanti. Dan saya harap, walau sekerap mana saya tergelincir, saya akan kembali ke landasan yang sama.



tetamu

kelab kapucino

komen kapucino